Manusia menjalani kehidupan dengan pilihan yang berbeza.
Ada yang gembira berkongsi kisah keluarganya yang menarik di tempat kerja, dan ada juga yang selesa menumpukan kebanyakan hal ehwal keluarga hanya di rumah.
Satu perkara yang membuatkan saya tertarik terhadap kenyataan seorang individu ini ialah, beliau menyimpulkan bahawa mereka yang menjaga hal peribadi keluarga di tempat kerja merupakan mereka yang sebenarnya tidak bergembira dengan keluarga sendiri atau tiada perkara yang menyeronokkan tentang keluarga sendiri. Sejujurnya, saya kurang pasti bagaimana individu tersebut membuat pengesahan sedemikian. Saya berasa sedikit janggal.
Benarlah bahawa pola pemikiran setiap individu berbeza satu sama lain.
Saya pula meneliti bahawa mereka yang tidak begitu mendedahkan hal keluarga di tempat kerja ialah mereka yang selesa mengasingkan dua perkara ini pada setiap tempatnya. Menurut pandangan saya, ramai yang bergembira dengan rezeki dan nikmat yang mereka peroleh, namun mereka lebih bergembira mensyukuri rezeki ini secara diam dan hanya dengan ahli keluarga tanpa melibatkan pihak lain.
Pendirian seseorang yang tidak mengganggu kehidupan orang lain, seharusnya dihormati.