Syaddad bin Aus

Pada satu malam, ustaz mengajarkan kami akan satu hadis ringkas. Pengisian hadis tersebut mencerminkan kelemahanku sama ada yang sengaja atau tidak disengajakan.

Periwayat hadis itu ialah Syaddad bin Aus. Siapakah dia? Apakah sifat mahmudah yang ada pada dirinya? Mengapakah dia mempesona?

Syaddad bin Aus ialah seorang yang ilmunya begitu luas. Dia tidak pernah marah. Apabila dia bercakap, dia fasih.

Ibadahnya kuat dan dirinya seorang zuhud. Kualitinya ialah seseorang yang dipercayai. Sikapnya santun dan dipuji oleh masyarakat Ansar Madinah.

Semenjak menjadi seorang Islam, tidaklah dia gemar untuk bergurau. Gurauan, padanya, sesuatu yang melalaikan.

Pada malam hari, dia tidak selesa berada di perbaringan lantaran memikirkan kepanasan api neraka. Dek hal ini, masyarakat mengumpakannya sebagai kacang yang dibakar.

Sesungguhnya, pada malam itu, aku dan rakan-rakan sekelas yang lain diajak untuk menginsafi peribadi mulia seorang Syaddad bin Aus. Semoga kita ‘sebaik’ dan ‘seindah’ Syaddad.

4 – 17 Syaaban 1446H – Rasa yang Rencam

Hari ini merupakan hari pertama di INTAN Jalan Elmu; menghadiri satu kursus yang berlangsung selama lima hari. Selama lima hari, setiap selepas subuh, saya mempersiap mental menghadapi kesesakan lalu lintas menuju ke lokasi kursus. Pengalaman ini menginsafkan saya berkenaan golongan individu yang harus keluar bekerja pada awal pagi, bahkan sebelum berkumandangnya azan subuh.

Alhamdulillah, kami menduduki peperiksaan pada hari kelima. Seorang urus setia dilihat berpakaian baju Melayu. Teruja apabila masuk ke bilik peperiksaan sebagai calon pertama yang tiba! Saya menduduki meja ke-28. Saat selesai, saya berasa tidak yakin dengan jawapan yang telah saya sediakan. Namun, saya bersyukur kerana pihak urus setia meluluskan permohonan saya sebagai peserta kursus.

Sedih dan tidak menyenangkan apabila kerosakan ini berlaku kali ketiga. Akhirnya, setelah kerosakan diperbaiki oleh seorang runner, dan saat berbaring keletihan pada tengah malam, barulah fikiran menjadi tersusun. Dalam ujian yang kita hadapi, ada rezeki buat hamba lain yang dikurniai. Tersimpan sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat menyambut niat seorang hamba Allah yang hendak membantu pada siang hari.

Sudah lama majalah tidak dibeli dan dibaca. Sepanjang membesar, ibu saya membelikan saya majalah-majalah yang mengisi masa luang. Berada dalam dunia pekerjaan menjadikan saya semakin malas dan sengaja tidak mencerdaskan minda dengan kegiatan membaca. Sekiranya buku dipertimbangkan sebagai bacaan yang agak berat, maka jinakkanlah diri dengan majalah – yang lebih ringkas untuk difahami dan dihadami.

Menjadi kebiasaan, saya memarkir kenderaan di tempat yang berbeza. Pemandangan yang berbeza menyuntik semangat yang berlainan. Pada hari ini, cuaca panas terik. Saya bertanya-tanya bagaimanakah hangatnya cuaca yang menjengah bulan Ramadan kelak. Adakah pelajar akan diberi kemudahan mengikuti kelas dalam talian agar tidak bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam keadaan yang melesukan?

Tidak cukup dengan menyinggahi Jualan Gudang Dewan Bahasa dan Pustaka, saya memutuskan untuk menambah lagi kumpulan bahan rujukan dengan mengunjungi Kedai Buku DBP pula setelah dua hari Jualan Gedung tersebut berakhir. Kakitangan-kakitangan di situ membantu dan memudahkan urusan pengunjung. Resit belian menunjukkan bahawa setiap buku dan majalah yang dibeli diberi potongan harga sebanyak 15%.

Makan tengah hari bersama-sama keluarga di Warong Nora, yang terletak di sebuah mukim di Negeri Sembilan. Sebaik masuk ke simpang utama kampung, dapat dilihat banyak lembu yang diternak. Di belakang Warong Nora itu sendiri, ada beberapa ekor lembu dan ayam. Suasana kampung ini begitu menenangkan namun saya kira, jalan utama di kampung ini pasti menimbulkan bunyi bising kepada penduduk.

Kali pertama meneroka Kampung Sungai Ramal Dalam di Kajang – untuk mendapatkan sepotong kuih tradisional. Hujan sangat lebat pada ketika itu dan petir berdentuman diselangi petir sabung-menyabung, SubhanAllah. Penglihatan menjadi terhad dan amat terbatas. Fenomena alam sememangnya begitu berkuasa hingga terasa getaran jalan yang dipanah petir, mendorong lisan tidak henti memohon perlindungan Tuhan.