
Hari pertama 2026 ini saya mulakan dengan membaca komik Misi Solat Lima Waktu: Diari Akhlak Imran.
Kandungan komik ini sangat menghiburkan namun dalam masa yang sama, mendidik jiwa. Sepanjang membaca komik, saya ketawa dan tersenyum disebabkan oleh watak Imran yang lucu. Namun, ada juga babak yang melibatkan watak Pak Dollah iaitu tukang kebun sekolah, yang membuatkan saya berasa sedih.
Komik ini mengajar pembaca tentang adab dan akhlak. Sebanyak 25 akhlak diceritakan dan dikaitkan dengan kehidupan seharian Imran. Sungguhpun Imran ialah seorang pelajar sekolah, akhlak yang diketengahkan ini turut terpakai kepada mana-mana idividu tanpa mengira usia. Saya sebagai pembaca dewasa juga menginsafi pesanan Pak Dollah tentang kepentingan berakhlak.
Penghargaan saya tidak sahaja ditujukan kepada penulis komik, Nazry Salam, bahkan turut didedikasikan kepada pengilustrasi, Anna Shahira. Hasil karya mereka menghidupkan jalan cerita dan visual kepada pembaca, sekaligus menjadikan penyampaian yang bersifat mendidik ini dekat di hati kita atau anak-anak kecil.
Saya akan dapatkan kesemua siri komik ini untuk melengkapkan bacaan. Bacaan komik ini santai dan mudah, namun mengesankan.