Orang Islam di Malaysia lazimnya mengamalkan doa sebelum makan yang berbunyi, Ya Allah, berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan jauhilah kami dari azab neraka.
Doa ini cukup terkenal, bahkan diajarkan di kebanyakan pusat prasekolah di Malaysia. Di rumah-rumah, sebelum menikmati hidangan bersama-sama keluarga, doa ini dibaca. Bagi tujuan menerapkan ilmu dalam kalangan anak kecil, di meja makan, lazimnya sesebuah keluarga akan meraikan keupayaan anak kecil mereka membaca doa ini walaupun dengan tempo yang perlahan.
Apabila berpengalaman berkenalan dengan kenalan-kenalan berbangsa Arab, saya dapati mereka membaca kalimat seringkas ‘Bismillah’ atau ‘Bismillahir rahmannir rahim’ sahaja sebelum makan. Dari aspek ini sahaja, kita boleh mempelajari perbezaan pengamalan agama dalam kalangan orang Islam yang datang daripada pelbagai negara.
Semakin bertambah usia dan setelah menyertai pelbagai kelas agama dari semasa ke semasa, hal yang selama ini telah sebati dalam amalan diri saya, mula diteliti. Saya mempelajari bahawa riwayat berkenaan doa sebelum makan ini (yang berbunyi seperti dipaparkan pada perenggan pertama) sebenarnya ialah hadis mungkar iaitu perawinya bermasalah.
Namun, hal ini tidaklah bermakna doa ini tidak boleh diamalkan. Terdapat perbahasan mengenai riwayat doa sebelum makan. Sebagai orang Islam, sekiranya kita mengamalkan doa yang berbunyi Ya Allah, berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan jauhilah kami dari azab neraka, kita harus meyakini bahawa lafaz tersebut bukan daripada Nabi Muhammad S. A. W.
Antara rujukan yang boleh dibaca ialah artikel ini, yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Perksekutuan. Semoga Allah sentiasa memberi kita taufiq untuk mempelajari pelbagai aspek pengetahuan yang bermanfaat seterusnya menjadikan kita beramal serta berkongsi pengetahuan tersebut.