Kali terakhir saya ke sana sebelum ini adalah ketika saya diminta olehnya untuk menghabiskan hari-hari terakhir kami sebelum dia membawa haluannya. Mungkin sekitar pertengahan tahun 2022?
Hingga kini, saya yakin, permintaan itu bukanlah ajakan tulus daripada hatinya. Permintaan itu hanyalah sekadar untuk mengurangkan rasa bersalahnya. Dan kerana itu, tidak pernah saya ubah pandangan saya yang kurang murni tentang dia hingga kini.
Pada Sabtu lepas, adik saya mengajak saya pergi ke tempat ‘itu’; yang dahulunya pernah saya pergi dalam keadaan saya berasa terlalu dikhianati. Saya berasa penat kerana diajak adik pada saat-saat akhir, namun, bukankah ini peluang memujuk hati?
Pemergian saya dan adik ke sana membuatkan saya berasa sangat bersyukur. Saya bersyukur kerana akhirnya saya dapat membina memori baharu tentang tempat sama yang ternyata lebih menyenangkan hati.
Jika dahulu, setiap sesuatu yang berkenaan tempat itu ialah hal yang begitu meremukkan hati dan ingin sentiasa dilupakan. Namun kini, setiap sesuatu yang berkenaan tempat itu ialah hal yang begitu menyenangkan hati dan ingin sentiasa dikenang.
Impian saya tercapai dengan izin Allah. Impian saya bahawa pada satu masa nanti, saya akan mengulang kembali pemergian ke tempat itu dengan penuh rasa gembira, akhirnya dibenarkan berlaku. Terima kasih Allah.